wibiya widget

ISLAMIC MANUFACTURING PRACTICE. Powered by Blogger.

Wednesday, July 21, 2010

KEAJAIBAN KHASIAT KISMIS



Apabila ditanya apakah snek makanan ringan untuk kanak-kanak, jawapan yang biasa diterima adalah makanan seperti keropok, ais krim, gula-gula, lolipop, kerepek ubi kentang dan jeruk.

Walaupun sedar pelbagai kesan sampingan yang negatif terkandung dalam makanan ringan tersebut terutama penggunaan monosodium glutamate (MSG), gula dan pengawet yang tinggi, masih ramai ibu bapa tetap mengamalkan diet makanan ini.

Apa kata mulai hari ini, anda cuba ubah persepsi terhadap snek makanan iaitu menggantikannya dengan bahan makanan yang lebih berkhasiat.

Kismis adalah salah satu alternatif bahan makanan yang wajar dijadikan snek makanan kepada anak-anak. Justeru, anda perlu mengubah persepsi bahawa kismis hanya bahan makanan yang dimakan sewaktu menjelang peperiksaan, majlis keramaian tertentu atau dimasukkan ke dalam roti atau kek.

Menurut Pakar Pembangunan Kanak-Kanak di sebuah hospital tempatan, Ruth Liew, ramai yang semakin lupa bahawa, kismis mempunyai kandungan gula daripada buah yang asli. Ia mampu memberi tenaga yang konsisten kepada kanak-kanak.

"Memang gula-gula mampu memberi tenaga yang lebih, tetapi ia akan menyebabkan kanak-kanak menjadi hiper dan menjadi lemah apabila kandungan gula itu mula merosot.

"Berlainan dengan kismis. Dengan kismis, kanak-kanak akan dapat tenaga yang seimbang dan menyihatkan badan.

"Ia juga makanan ringan yang lebih baik daripada gula-gula. Gula-gula boleh meninggalkan kesan kerosakan pada gigi kanak-kanak dan tenaga yang diperoleh juga tidak sekata," jelas Ruth pada satu sesi penerangan tentang kebaikan kismis kepada media di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya, kanak-kanak masa kini tidak lagi gemar dengan makanan yang terlalu pelbagai, sebaliknya mereka lebih gemar makanan yang lebih santai. Oleh kerana itu, ibu bapa perlu menjadikan kismis sebagai snek makanan ringan untuk anak-anak yang masih bersekolah.

Tambah Ruth, untuk menjadikan kismis sebagai snek ringan kepada anak-anak, ibu bapa perlu memainkan peranan.

Bagi kanak-kanak atau golongan remaja yang sudah biasa atau gemar menikmati kismis begitu sahaja, ia bukan satu masalah lagi kepada ibu bapa.

"Bila mereka tengok TV, jangan bagi mereka kuaci atau keropok sebaliknya beri mereka kismis. Bekalkan juga kismis ketika ke sekolah," katanya.

Namun, jika ada yang tidak gemar menikmati kismis dalam bentuk mentah, ia boleh dicampur dalam pelbagai hidangan lain dengan cara mempelbagaikan makanan yang dicampur dengan kismis dalam hidangan waktu pagi, petang dan malam.

"Mereka mungkin tidak akan memilih kismis, tetapi ibu bapa perlu tahu khasiatnya. Terus beri galakan kepada anak-anak dengan mempelbagaikan masakan.

"Anda boleh campur kismis ke dalam bubur, sup, atau sayur-sayuran yang biasa dimakan anak-anak," kata Ruth yang mengakui ia juga boleh diamalkan dalam diet orang dewasa.

Ruth yang menerima reaksi daripada ibu bapa yang memberi kismis kepada anak-anak juga memberitahu, hasil yang diperoleh amat positif.

"Ada ibu bapa mula mempelbagaikan cara pemakanan dan ada juga yang memberi kismis seperti memakan vitamin setiap hari.

"Malah, ada juga anak-anak yang gembira dengan amalan makanan anggur kering itu," jelas Ruth yang turut mengamalkan memakan kismis sejak kecil lagi.

Dalam Islam, kismis sudah lama disaran untuk pemakanan kanak-kanak kerana ia adalah makanan tambahan yang mampu merangsang minda dalam melahirkan generasi genius.

Menyedari kebaikan kismis dan kemampuannya menjadi snek dalam makanan kanak-kanak, masyarakat Barat turut mula mengambilnya dalam diet mereka.

Penelitian Christine D.Wu dari Universiti Illinois, Chicago, Amerika Syarikat mendapati kismis mengandungi antioksidan yang dapat melawan bakteria penyebab kerosakan gigi dan gusi.

Antara antioksidan itu adalah asid oleanolic, oleanolic aldehyde, betulin, asid betulin dan 5-(hydroxymethyl)-2-furfural.

PENCUCI mulut daripada kismis.

Asid oleanolic mampu menghambat pertumbuhan dua spesies bakteria penghuni mulut iaitu streptoccus mutan, penyebab plak dan kerosakan gigi serta porphyromonas gingivalis, penyebab penyakit periodontal.

Sementara itu, pakar pemakanan dari sebuah hospital swasta, Tan Yen Sing, berkata, kajian juga mendapati kismis yang kaya dengan potassium dan rendah dalam sodium membantu mengurangkan tekanan darah tinggi.

"Malah, khasiat daripada kismis juga boleh mengurangkan risiko strok dan melemahkan perkembangan penyakit-penyakit organ dalam badan.

Selain itu juga, kismis mengandungi fiber dan asid tartaric. Ia juga baik untuk kesihatan tulang dalam badan anda.

Katanya, kismis mempunyai banyak khasiat pemakanan, serat, antioksidan, vitamin dan kalium yang merupakan nutrien penting untuk badan.

"Saya menafikan memakan kismis akan membuatkan anda gemuk. Ia adalah mitos. Ini kerana, manis yang ada pada kismis adalah manis buah-buahan yang asli.

"Ia juga mudah untuk dibawa dan boleh dipelbagaikan dalam masakan seisi keluarga," ujar Tan Yen Sing.

KHASIAT BUAH KURMA



Kurma adalah sejenis tumbuhan (Palma) atau dikenali dalam bahasa saintifiknya sebagai Phonex dactylifera yang berbuah dan boleh dimakan sama ada yang masak atau yang mentah. Kebanyakan pokok kurma tumbuh di negara-negara Arab dan mempunyai berbagai-bagai jenis. Antara kurma yang terkenal ialah kurma Mekkah dan Madinah yang dikatakan mempunyai berpuluh-puluh jenis. Dikalangan penduduk di negara-negara Arab kurma adalah makanan utama mereka, malah dikalangan orang kita juga kurma sudah menjadi bahan makanan yang digemari. Selain rasanya yang manis dan tahan lama serta tidak perlu dimasak, kurma juga mempunyai khasiat yang banyak dan menjadi makanan utama Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Jaafar katanya : "Aku melihat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam memakan buah-buahan dengan kurma masak.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah menyebutkan tentang khasiat sejenis kurma yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud :

"Diceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad mendengar bapanya meriwayatkan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : "Sesiapa yang memakan 7 biji tamar ‘Ajwah’ dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu".

Khasiat kurma "Ajwah" sebagaimana yang tersebut di dalam hadis di atas merupakan satu kelebihan yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala sesuai dengan kemuliannya sebagai jenis kurma pertama yang ditanam sendiri oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Terdapat juga di dalam al-Qur’an ayat yang menyatakan tentang kelebihan buah kurma ini, yang dialami oleh Sayydatuna Maryam ketika beliau mengandung Nabi Isa ‘Alaihi Salam sebagaimana tersebut di dalam surah Maryam ayat 25 :

h_dd26.jpg (19498 bytes)

Tafsirnya : "Dan gocangkan batang kurma itu kepadanya, nanti ia gugurkan atasmu kurma yang masak.

(Surah Maryam : 25)

Ayat di atas menjelaskan tentang khasiat buah kurma kepada kaum wanita yang sedang dalam nifas, bila mana Allah memerintahkan Maryam memakannya sedang beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin. Penemuan kajian sains tentang khasiat buah kurma yang kaya dengan unzur zat besi dan kalsium telah membuktikan bahawa perubatan cara Islam yang terkandung di dalam al-Qur’an dan hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bukanlah jenis perubatan yang semata-mata sesuai dengan keadaan iklim masyarakat Arab sahaja atau sudah ketinggalan zaman, tetapi ia adalah perubatan yang diiktiraf oleh dunia antarabangsa. Malah ia lebih baik daripada ubat-ubatan moden yang menggunakan berbagai campuran dadah yang boleh mengakibatkan kesan sampingan yang lain.

Unsur zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam buah kurma adalah unsur yang paling tinggi bagi membentuk susu ibu. Bagi Ibu-ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, maka dengan memakannya dapat menggalakkan pertambahan kandungan susu. Ianya juga berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak damit dan pembentukan darah dan sumsum tulang. Antara kajian lain yang dijalankan membuktikan bahawa kurma antara makanan yang paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga. Kurma tersebut akan segera dibakar dan ia akan disalurkan ke bahagian anggota lain dan otak.

Berdasarkan ini juga Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menganjurkan kita supaya berbuka puasa dengan buah kurma sebagaimana sabdanya daripada Anas bermaksud :

"Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada terpadat kurma, maka Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka Baginda meminum beberapa terguk air.

(Hadis riwayat Ahmad)

Sehubungan dengan hadis ini ada beberapa hadis lain yang menganjurkan agar kita berbuka puasa dengan kurma. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, beliau berkata : "Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasalla berbuka dengan kurma dan barangsiapa yang tidak mendapatkannya maka hendaklah ia berbuka dengan air kerana sesungguhnya air itu pembersih.

Antara hadis lain yang menyatakan kelebihan buah kurma :

h_dd27.jpg (32536 bytes)

Maksudnya : Daripada Adiy bin Hatim, ia berkata : "Saya mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : "Hindarilah api neraka walaupun (dengan memberi sedekah) sebelah buah kurma.

Hadis ini menerangkan kemuliaan buah kurma, iaitu walaupun dengan hanya kita bersedekah sebelah buah kurma kita terhindar daripada api neraka.

Jadi bagi orang-orang yang mementingkan kesihatan mereka agar sentiasa dapat dijaga dengan baik, buah kurma adalah amat sesuai dijadikan sebagai salah satu makanan harian mereka khususnya di waktu pagi sebelum memulakan sebarang tugas harian. Khasiat kurma juga adalah sesuai dan baik bagi pertumbuhan kanak-kanak.

Mudah-mudahan dengan amalan memakan kurma yang berterusan, kita terhindar daripada berbagai kemungkinan dan dapat meneruskan tugas harian serta beribadat kepada Allah Subhanahu Wata’ala.

Tuesday, July 20, 2010

KEDAI KONSEP IMP TAIPING, PERAK



PROJEK PEMBANGUNAN HALAL HUB PERAK

SELAMATKAH MINYAK MASAK TERPAKAI?

Oleh Zulina Hassan

Memasak makanan dengan cara menggoreng menjadi salah satu cara utama dalam penyediaan makanan di rumah kita. Sebut apa saja masakannya sama ada pisang goreng, keropok lekor, ayam goreng, karipap, sambal tumis ikan bilis, sambal tumis udang, nasi goreng, mi goreng dan pelbagai lagi, semuanya cukup enak dan menyelerakan.

Kadangkala apabila menggoreng, kita sering menggunakan minyak masak yang sama berulang kali. Kadangkalanya kita menggunakan minyak yang sama sehingga warnanya bertukar menjadi hitam. Hal ini boleh kita lihat di sesetengah warung menjual pisang goreng dan keropok lekor. Mereka menggunakan minyak yang sama berulang-ulang kali untuk menjimatkan penggunaan minyak.

Persoalannya, selamatkah minyak masak yang digunakan berulang-ulang kali ini?

Perlu kita ketahui bahawa apabila dipanaskan, minyak tersebut boleh mencapai suhu antara 200-3000°C. Pada suhu ini, ikatan pada asid lemak tidak tepu akan rosak dan hanya meninggalkan asid lemak tepu sahaja. Risiko terhadap meningkatnya kolestrol darah akan menjadi semakin tinggi. Selain itu, vitamin yang larut di dalamnya seperti vitamin A, D, E dan K juga akan rosak. Akibatnya, jumlah nutrisi dalam minyak akan menurun, bahkan memberi kesan negatif kepada tubuh.

Minyak masak yang telah digunakan akan mengalami beberapa tindak balas yang menurunkan kualitinya. Apabila suhu ketika menggoreng terlalu tinggi sehingga mencapai titik asap (suhu ketika minyak itu mengeluarkan asap), sejenis bahan yang dinamakan akrolein akan terbentuk. Akrolein ini menyebabkan rasa gatal pada tekak.

Minyak ini juga akan mengalami peruraian molekul sehingga titik asapnya menurun. Apabila minyak yang sama digunakan berulang kali, maka akrolein semakin cepat terbentuk sehingga akan membuat orang yang memakan makanan goreng tersebut batuk.

Minyak yang telah digunakan juga mudah mengalami tindak balas oksidasi. Tindak balas ini menyebabkan penguraian molekul tertentu yang merosakkan minyak dan berbahaya kepada tubuh. Proses penguraian molekul ini bergantung kepada jenis minyak; semakin tinggi jumlah asid lemak tak tepu, semakin mudah molekulnya terurai.

Minyak yang teroksidasi akan cepat berbau tengik. Minyak itu juga menjadi tempat pembiakan kulat aflatoksi. Kulat ini menghasilkan racun aflatoksin yang boleh menyebabkan berbagai penyakit terutama penyakit hati.

Minyak yang telah teroksidasi juga dikatakan boleh menyebabkan pertumbuhan sel-sel barah pada hati. Pertumbuhan sel barah pada hati akan menyebabkan hati tidak dapat berfungsi dengan sempurna.

Peranan hati amat penting dalam tubuh. Hati merupakan organ homeostasis yang penting dalam proses metabolisme dalam badan. Antara fungsi hati termasuk mengawal aras glukosa darah dengan menyimpan glikogen di dalam hati (karbohidrat simpanan), menyimpan vitamin dan garam mineral tertentu, mengawalatur metabolisme karbohidrat, lipid dan asid amino, menapis darah untuk membersihkannya daripada bahan-bahan beracun terutama dadah dan bahan-bahan bernitrogen seperti ammonia dan banyak lagi fungsi lain.

Bayangkan, apakah yang akan terjadi sekiranya hati tidak dapat berfungsi dengan baik? Secara umum, hati menjadikan seluruh sistem tubuh dalam keadaan seimbang. Oleh itu, jika hati tidak dapat berfungsi dengan baik, tubuh akan terdedah terhadap pelbagai infeksi sekunder dan menyebabkan organ-organ lain turut gagal berfungsi.

Seperkara lagi yang perlu difikirkan, kebanyakan makanan mentah pada hari ini mengandungi toksid sama ada dalam jumlah yang sedikit atau banyak. Ikan kecil yang bersisik mengandungi kurang toksid berbanding ikan besar. Ayam daging komersil dan daging lembu juga mengandungi toksid sama ada dari pemakanan mereka atau suntikan yang diberi. Makanan proses seperti mi, bihun, keropok, nugget dan lain-lain yang seumpamanya turut mengandungi toksid.

Apabila makanan tersebut digoreng, toksid yang terkandung di dalamnya akan larut di dalam minyak menggoreng. Apabila minyak yang sama digunakan berulang kali, sudah tentu jumlah toksid yang terkumpul di dalamnya bertambah berkali-kali ganda. Jika ini berlaku, tubuh kita tak ubah macam tong sampah tempat menghumbankan bahan-bahan toksid yang berbahaya dan tidak berguna!

Menggoreng Dengan Selamat
Bagaimanakah caranya untuk menjadikan minyak goreng lebih selamat?
Berikut beberapa panduan yang disarankan:
- Mengawal suhu menggoreng agar tidak terlalu tinggi. Sebaik-baiknya tidak melebihi 180°C.
- Mempercepatkan masa menggoreng. Usahlah menggoreng terlalu lama.
- Minimakan campuran yang boleh mencetuskan penguraian molekul (seperti kehadiran bahan mineral tembaga, besi dan zink). Oleh yang demikian gunakan kuali stainless steel, bukannya kuali besi, tembaga atau kuali bersadur.
- Sejukkan minyak selepas menggoreng. Jangan tinggalkan minyak terbiar di dalam kuali.
- Simpan minyak yang telah digunakan dalam bekas stainless steel di tempat yang gelap seperti peti sejuk.
- Tapis untuk membuang sisa makanan yang ada.
- Seboleh-bolehnya, buang semua kesan minyak yang lama (yang akan membentuk varnis melekit berwarna coklat) dari permukaan kuali. Varnis ini merupakan minyak yang sudah teroksidasi, dan ia menyebabkan kualiti minyak menurun dengan cepat. Berusahalah membasuh kuali dengan sempurna.
- Sebaik-baiknya, jangan gunakan minyak yang sama lebih daripada dua kali.
- Jangan biarkan minyak di dalam kuali menjadi terlalu panas sehingga mengeluarkan asap.

Ingat, Islam sentiasa menyarankan agar kita mengambil makanan yang halal lagi baik. Firman Allah: “Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi thoyyib dari apa yang terdapat di bumi.”

(Telah tersiar dalam Cahaya Julai/Ogos 2008)

Monday, July 19, 2010

KEPENTINGAN PENGAMBILAN MAKANAN BERKHASIAT

Kesihatan diri merupakan harta yang paling berharga namun ramai yang tidak menyedarinya sehingga ditimpa sesuatu penyakit yang tenat. Ramai juga yang tidak menyedari akan peranan pengambilan makanan yang berkhasiat untuk memastikan kesihatan yang baik.

Punca utama serangan penyakit-penyakit tenat seperti kanser dan penyakit jantung ialah kerana tidak memakan makanan yang sempurna dan kurang memakan makanan yang berkhasiat.

Corak pengambilan makanan yang teratur sepatutnya dimulakan sejak awal lagi. Pepatah ada mengatakan, "Diri Anda Ialah Apa Yang Anda Makan" dan kenyataan ini benar dalam soal kesihatan. Corak pemakanan menentukan keadaan kesihatan kita kerana diet yang tidak teratur memburukkan kesihatan.

Seorang Pakar Pemakanan dari Amerika Syarikat, Frances M Lappe berkata rakyat di negaranya mempunyai diet yang tidak menyihatkan. Dalam bukunya Diet for a Small Planet beliau berkata penduduk negara itu memakan terlalu banyak daging, lemak, gula, alkohol, bahan penambah tetapi kurang memakan makanan berserat.

Tabiat ini juga mulai merebak di kalangan rakyat Malaysia yang pada umumnya memakan kian banyak makanan berproses. Adakah anda salah seorang daripada mereka? Adakah diet anda mempunyai ciri-ciri seperti berikut?

Terlalu banyak lemak dan kolesterol

Makanan seperti daging telur dan hasil tenusu seperti mentega dan keju merupakan sumber protein, vitamin dan galian yang baik tetapi ia juga mengandungi banyak lemak dan kolesterol.

Lemak boleh menyebabkan kegemukan, mendorong serangan jantung dan meningkatkan risiko serangan kanser sementara kolesterol menjadi punca utama sakit jantung.

Makanan berproses dan snek seperti kentang goreng dan kerepek juga mengandungi banyak lemak dan kolesterol begitu juga dengan makanan jualan penjaja.

Terlalu banyak gula

Makanan yang diproses dan makanan manis seperti kek coklat dan aiskrim mengandungi banyak gula yang memberikan sejumlah besar kalori tanpa khasiat makanan atau serat.

Kehadiran gula juga menggantikan makanan yang berkhasiat dan menyingkirkan beberapa vitamin dan galian dari tubuh.

Memakan gula yang berlebihan bermakna anda menanggung risiko kerosakan gigi, kegemukan dan masalah-masalah lain yang dikaitkan dengannya seperti kencing manis, serangan jantung dan sebagainya.

Terlalu banyak garam

Makanan segera, makanan dalam tin, daging yang diawet dan makanan ringan bergaram seperti kentang goreng, mengandungi terlalu banyak garam.

Memakan terlalu banyak garam boleh menyebabkan tekanan darah tinggi yang akhirnya boleh membawa kepada serangan jantung atau strok.

Sesetengah orang mungkin menghadapi masalah terlalu banyak air di bawah kulit (edema).

Terlalu sedikit serat

Tanpa pengambilan serat, makanan mengambil masa antara 70 - 80 jam untuk melalui saluran penghadaman. Mengurangkan masa yang diambil makanan untuk melalui saluran itu dapat melindungi daripada serangan kanser usus besar dan rektum dengan mencairkan bahan beracun yang terdapat di dalam usus besar dan mempercepatkan pengeluarannya dari tubuh.

Setiap manusia mempunyai keperluan yang berbeza, oleh itu anda harus menentukan sendiri apa yang terbaik untuk diri anda. Untuk memastikan anda makan berlebihan, anda mungkin perlu menimbang berat badan dari semasa ke semasa atau perhatikan sama ada terdapat perubahan ketika berpakaian iaitu sama ada pakaian kian sendat atau tetap seperti biasa.

Kita perlu mengimbangi tenaga (makanan) yang kita perolehi dengan tenaga yang digunakan untuk kegiatan seharian. Jika anda berkejar ke sana ke mari sepanjang hari, bererti anda telah menggunakan lebih banyak tenaga berbanding jika anda hanya duduk sepanjang masa. Jika anda memakan melebihi keperluan tubuh, maka lebihan makanan itu akan tersimpan sebagai lemak.

Diet anda menentukan keadaan kesihatan anda sepertimana pepatah diri anda ialah apa yang anda makan. Oleh itu penting bagi anda mengamalkan tabiat makan yang baik dari peringkat muda lagi.

UTUSAN PENGGUNA, MAC 1997, M/S 19

Sunday, July 18, 2010

Pencarian Gelatin Halal


Pencarian Gelatin Halal
Rencana di Harakah Julai 2006
By: Radzee



Di Malaysia kini isu makanan halal dan haram menjadi agenda yang begitu hangat diperkatakan. Isu ini bukan hanya memberi kesan kepada masyarakat beragama Islam sahaja, malahan turut mendapat perhatian daripada penganut-penganut agama lain kerana pengusaha makanan di Malaysia terdiri dari pelbagai kaum. Sebagai umat Islam adalah menjadi kewajipan kepada kita semua untuk memastikan makanan yang dimakan adalah halal, iaitu bebas daripada sumber najis dan haram bermula dari proses penyediaan bahan mentah, proses pembuatan, penyimpanan, masakan, pengilangan, pembungkusan dan pengangkutan.
Kerajaan juga turut memandang berat terhadap isu makanan halal kerana ia memberi kesan kepada masyarakat di Malaysia. Dalam usahanya untuk mencapai matlamat tersebut, kerajaan telah menjadikan Malaysia sebagai pusat makanan halal (halal hub) sedunia. Sejajar dengan aspirasi kerajaan, Halagel(M) Sdn. Bhd. Telah berusahan sedaya upaya untuk menyediakan produk alternatif halal khusus untuk kegunaan pengguna muslim dan masyarakat di Malaysia amnya. Antara produk yang diperkenalkan adalah GELATIN HALAL yang telah mendapat pengiktirafan halal dari Jabatan kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Gelatin yang dikeluarkan Halagel(M) Sdn. Bhd. Sejak tahun 1997 diperolehi daripada negara Islam iaitu Pakistan dan mempunyai 100% tenaga kerja yang terdiri daripada orang-orang Islam. Selain itu gelatin halal yang dikeluarkan, adalah dari sumber tulang haiwan-haiwan yang halal dimakan seperti lembu, kambing dan kerbau. Haiwan-haiwan tersebut juga telah disembelih terlebih dahulu mengikut hukum syarak yang telah ditetapkan dalam Islam.

Seperti mana yang kita sedia maklum, penggunaan gelatin adalah begitu penting dalam industri makanan dan farmasuketikal. Gelatin merupakan protin yang dihasilkan daripada sumber haiwan seperti babi, lembu dan kerbau iaitu daripada kulit dan sendi-sendinya. Gelatin juga didefinasikan terbitan kolagen iaitu protin yang dikaitkan dengan kulit, tulang dan tisu penyambung yang lain. Sifat-sifat gelatin yang luar biasa telah menjadikannnya sebagai bahan pemantap, pengemulasi (agen campuran bagi bahan berminyak dan berakhir), pemekat makanan dan penyental. Ia juga turut berfungsi sebagai bahan lekatan dalam gula-gula dan sebagai bahan penggebu. Mungkin ramai dikalanngan kita yang tidak menyedari banyak makanan yang dimakan mengandungi gelatin. Terdapat banyak contoh makanan dan produk-produk yang mengandungi gelatin. Antaranya ialah gula-gula getah, toffte, jeli, pencuci mulut segera, jus buah, ais-krim, produk-produk kosmetik, ubat-ubatan dan makanan pelengkap seperti minyak ikan, minyak bawang putih dan sebagainya yang didapati dalam bentuk kapsul lembut atau softgel.

Hari ini kita banyak mendengar slogan, ISLAM HADHARI, MODAL INSAN, INSAN KAMIL dan macam-macam lagi yang menjurus kepada pembentukan keperibadian dan salsiah rupa diri umat Islam. TETAPI..... sejauh manakah kita yang mengaku sebagai umat Islam mengambil berat tentang apakah bahan-bahan yang terkandung dalam makanan dan ubat-ubatan yang kita gunakan setiap hari??? Adakah kita pasti ia datang daripada sumber yang halal? adakah menggunakan gelatin halal? Ataupun kita langsung tidak peka terhadap perkara tersebut. Terdapat beberapa pengeluar yang mengeluarkan gelatin tetapi masih diragui tentang halal atau haram sumber gelatin tersebut. Antaranya, Davis Gelatine, Parke Schere yang mana mengikut kajian yang dijalankan oleh CAP ( Persatuan Pengguna Penang) yang diperolehi daripada buku terbitan Pusat Dagangan Antarabangsa UNCTAD/GATT, sebanyak 60% daripada gelatin yang dikeluarkan syarikat berkenaan adalah diperolehi daripada kulit babi.

Meskipun gelatin halal boleh diperolehi daripada kulit lembu atau kerbau tetapi ia tidak menguntungkan dari segi ekonomi kerana kulit lembu atau kambing secara komersilnya lebuh menguntungkan dalam industri barangan kulit dan kebanyakan kulit babi digunakan untuk membuat gelatin. Gelatin yang dihasilkan daripada kulit babi juga dikatakan lebih bermutu tinggi dan mudah dihasilkan. Mengikut lapuran pasaran, gelatin dunia bagi tahun 2003, bahan mentah yang digunakan untuk membuat gelatin adalah 42.4% daripada kulit babi, 29.3% dari kulit lembu, 27.65% dari tulang dan dari sumber lain sebanyak 0.7%. Melalui lapuran ini jelaslah bahawa penggunaan kulit babi adalah begitu tinggi berbanding sumber-sumber lain. Adakah kita mengetahui tentang perkara ini dan apakah tindakan yang wajar kita ambil sebagai pengguna muslim?! Sepertimana sabda Rasulullah S.A.W “Yang Halal itu sudah jelas, dan yang Haram pun sudah jelas, dan antara kedua hal tersebut terdapat yang musytabihat (syubhat, samar-samar, tidak jelas hala haramnya), kebanyakan manusia tidak mengetahui hukumnya. Barang siapa yang berhati-hati dari perkara syubhat, sebenarnya ia telah menyelamatkan agama dan harga dirinya..... (H.R Muslim)”

Sebagai pengguna muslim kita haruslah berhati-hati apabila memakan makanan yang mengandungi gelatin. INGAT!!!......walaupun gelatin halal tersebut didakwa diperolehi daripada sumber binatang yang halal dimakan, seperti lembu dan kerbau, gelatin tersebut tidak boleh dianggap halal kecuali binatang tersebut telah disembelih mengikut hukum syarak yang telah ditetapkan dan bukan daripada sumber binatang yang dimakan oleh kita sebagai umat Islam.

Apabila menyentuh tentang isu halal dan haram, TIADA PERKARA YANG BOLEH DIAMBIL MUDAH!!! Ia merupakan perkara yang penting dan perlu diberikan penekanan dan perlaksanaan kerana sebagai umat Islam, mencari yang halal dituntut oleh agama. Bahkan apa yang kita makan akan menjadi darah daging dan akan dihisab kelak. Justeru, dalam konteks pemakanan amatlah wajar kita sebagai pengguna Islam mengambil langkah yang bijak dan lebih serius dalam memilih jenis makanan untuk diri dan keluarga agar mampu menjadi insan yang kamil serta muslim yang sejati dalam masyarakat madani.

Untuk mendapatkan bekalan gelatin halal, sila hubungi syarikat pengedar utama, Nur Halalgelatine resources, 0199580915 Dr. Siti Zawiah atau 0199167288 En Razzi Rahman. Atau, anda juga boleh membeli terus secara online.

Mangkuk Tingkat

Senarai Produk Mendapat Piawaian IMP

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP